...

Isnin, 5 Mac 2012

KAULAH AYAHKU,KAULAH MURABBIKU


Aneh sungguh percaturan Ilahi dalam mengatur hidup hambanya,disaat aku dahagakan kasih seorang ibu,beliau telahpun diangkat Oleh Nya.Lalu aku meneruskan kehidupan bersama ayah yang amat aku sayangi dengan iringan doa yang selalu aku panjatkan kepada Sang Pentadbir Alam agar Dia tidak mengambil ayahku sepertimana dia telah mengambil ibuku.

Usai aku menunaikan solat subuh,aku bersiap untuk ke medan penggalian harta paling bernilai iaitu ilmu.Aku teringat akan kata nasihat Luqman nul Hakim kepada anaknya “wahai anakku,tuntutlah kamu akan ilmu,kerana dikala kau jatuh papa maka ilmulah yang menjadi harta buat dirimu dan jika kau seorang yang kaya-raya maka ilmu akan menjadi perhiasan yang indah buat dirimu”,begitulah bisikan yang terngiang di cuping telingaku.”Fathiah sudah solat subuh, sayang?” suara ayah memecah lamunanku,lirikan mataku terus meluru kepada bibir tua ayah yang sentiasa manis dengan senyuman.Aku teringat kata azimat ayahku yang berpesan agar maniskan bibir dengan senyuman agar hidup kita sentiasa disenangi semua manusia.”Fathiah baru sahaja selesai menunaikan solat, ayah”balasku sambil membalas senyuman ayahku dengan senyuman yang mesra.

Aku bergegas ke meja makan untuk menjamu sedikit sarapan sebagai bekalan tenaga untuk jasad yang serba lemah ini,”sarapan amat penting buat diri kita kerana tanpa sarapan kita mungkin kekurangan tenaga untuk melakukan sebarang kerja”,itulah antara pesanan arwah ibu sebelum ibu pergi menyambut seruan Allah.

Suasana sunyi di meja makan tiba-tiba dikejutkan oleh batukan kuat yang dihamburkan oleh ayah,membuatkan aku terkejut dan sedikit risau.Ayah sememangnya mempunyai penyakit sesak nafas sejak dilahirkan,dan masih tidak ada penawar yang serasi untuk menyembuhkan penyakit ayah.”Ayah sihat?”,aku bertanya dengan penuh kerisauan.Lalu ayah menjawab “ayah baik saja Fathiah,Fathiah janganlah risaukan kesihatan ayah ini,ayah Fathiah ni kan kuat”,ayah berseloroh.Aku tahu ayah sengaja berseloroh untuk menghilangkan kerisauan yang berputar di benak fikiranku.Namun,wajah ayah tidak mampu untuk menyembunyikan keperitan yang ditanggung dalam dirinya.

Aku membonceng motorsikal buruk yang ditunggang ayah,aku meletakkan kepala aku di belakang tubuh ayah,itulah saat yang paling aku suka ketika membonceng motor yang ditunggang ayah.Motor buruk itu berhenti tepat di hadapan pintu pagar sekolah.Aku turun dari motor tersebut lalu terus menangkap tangan kasar ayah untuk aku cium dan mengharapkan berkat dari tangan seorang ayah yang tabah.Ayah mengucup dahi dan kedua belah pipiku dan lantas terkeluar sepotong ayat dari bibir manis ayah “hari ini ayah mungkin tidak dapat menjemput Fathiah pulang dari sekolah,jadi Fathiah tumpanglah Ustazah Maisarah ya”.Aku mengangguk tanda akur dengan permintaan ayahku.Sebelum aku mengorak langkah,deria pendengaranku menangkap suara perlahan yang keluar dari mulut ayah “ayah nak berehat puas-puas”,lafaz ayah separuh berbisik.Aku menoleh kebelakang untuk mempersoalkan maksud di sebalik kata-kata yang diucapkan ayah itu,alangkahnya terkilannya hatiku kerana ayah telahpun bertolak untuk pulang kerumah.

“Bangun,assalamualaikum ustazah!”,suara Aliff mencelah di tengah keriuhan pelajar didalam kelas aku.Kami mengulangi ayat yang baru dilafazkan oleh Aliff sebentar tadi sebagai meraikan kedatangan guru kami.Ketika ustazah sibuk mencurahkan pengetahuan yang wujud dalam mindanya,aku pula sibuk memikirkan kata-kata yang diungkapkan oleh ayah aku tadi.Aku mengira inilah kali pertama aku tidak menumpukan perhatian terhadap sesi pembelajaran ini,semuanya disebabkan ayat ayah yang terakam di benak fikiranku.Selesai sahaja sesi P&P bersama Ustazah Shaflina tadi aku terus menangkup kepalaku diatas meja,hati dan jiwaku masih lagi resah dan kacau dek kerana memikirkan ayat-ayat ayahku pagi tadi.Tanpa diduga aku diselubungi rasa mengantuk yang amat sangat,mata bundarku seolah dihimpit dengan konkrit yang beribu tan beratnya.Aku  tidak berdaya melawan rasa mengantuk lantas melelapkan mataku,lalu aku tertidur….

“Ibu!,ibu ke tu?”,aku menjerit kearah satu kelibat yang berada dihadapanku.Bayangan itu muncul jelas di hadapanku,dan aku memang tidak silap menduga yang kelibat itu sememangnya ibuku. Alangkahnya riangnya hatiku tatkala melihat wajah ibu yang bercahaya  dan pakaian ibu yang serba putih.Aku berlari meluru kearah ibuku lalu memeluk seeratnya disebabkan rindu yang amat sangat.Aku bertanya ibu tentang keadaan ibu di ‘sana’,ibu tersenyum dan berkata” Alhamdulillah berkat anak solehah yang ibu lahirkan ini ibu amat bahagia di ‘sana’,ibu harap Fathiah teruskan sedekahkan bacaan Al Quran untuk ibu supaya ibu tidak ketandusan harta yang bernilai”.Aku mengangkat kepala aku dan alangkah tersintaknya jantungku apabila aku melihat ayah berada disisi aku sambil tangan memegang kepalaku.”Apa yang ayah buat disini?”soalku kehairanan.Ayah hanya tersenyum dan mengucup dahiku tanpa menjawab persoalanku.”Lepas ni Fathiah tinggal dengan Ustazah Maisarah ya,ayah kena ikut ibu balik dan ibu yakin Fathiah seorang insan yang kuat dan tabah.Cuma satu pesan ibu agar Fathiah janganlah tinggalkan bacaan Al Quran untuk kami berdua ye sayang..”itulah kata-kata terakhir dari ibu sebelum kedua-duanya hilang disebalik cahaya yang terang.

“Perhatian kepada Nur Fathiah Zubaidah binti Muhammad Munir,sila hadir ke pejabat dengan segera!!”,suara Ustaz Azli yang lantang dengan bantuan’ PA System’ itu menyedarkan aku dari lena yang mengundang seribu persoalan.Aku perasan puluhan pasang mata menumpu kearah diriku namun aku tidak mengendahkannya,aku bangun dan mengatur langkah untuk kepejabat dengan segera.Aku melihat Pakcik Ubaidullah tercegat dengan wajah yang agak cemas,aku yang masih lagi ‘mamai’ kerana tidur tadi terus jalan menuju kearah Pakcik Ubaidullah.”Fathiah,pakcik ada berita yang ingin disampaikan”,lantas Pakcik Ubaidullah diam tanpa meneruskan kalam bicaranya.”Apa beritanya pakcik?”,aku melontarkan soalan supaya Pakcik Ubaidullah menyambung ayatnya.”Sebenarnya kami menemui ayah kamu telahpun meninggal dalam keadaan bersujud di dalam biliknya”,sambung Pakcik Ubaidullah sambil menundukkan wajahnya.Kepalaku pitam seketika,namun aku menggagahkan diri untuk mengemas barang lalu pulang ke rumah.

Setibanya aku teratak usang  itu aku terasa ingin menjerit namun aku kuatkan diri agar aku tidak melakukan perkara yang dilarang agama itu.Aku menyelak kain batik lepas yang membaluti wajah ayah dan hatiku sedikit tenang apabila melihat wajah ayah yang berseri-seri dan kelihatan sedikit tersenyum seolah-olah melihat perkara yang menggembirakan.Namun,air mata aku tetap mengalir kerana hari ini aku kehilangan tempat bergantung,aku membuka nashkah mulia iaitu Al Quran dan membacakan beberapa surah untuk disedekahkan buat ayah tersayang.Saat-saat mesra aku bersama ayah menerpa masuk satu demi satu ke dalam mindaku,siapa sangka yang pagi tadi adalah kali yang terakhir waktu aku bersama ayah kesayanganku.Dan yang amat memilukan ialah pagi tadi adalah pagi yang terakhir aku meletakkan kepala aku di belakang badan ayah.Air mata yang menitis makin deras seperti air terjun yang terus menerus mengalir tanpa ada tanda mahu berhenti.Kejadian yang menimpa jasad ku ini menyebabkan aku teringat akan mimpi yang ku alami ketika terlelap di dalam kelas tadi.

Usai majlis pengebumian ayah,aku berkemas untuk berpindah kerumah Ustazah Maisarah yang juga adik kepada arwah ibuku.Setelah selesai berkemas,aku terus mengunci pintu rumah dan terus menaiki kereta Ustazah Maisarah.Kereta Ustazah Maisarah bergerak meniggalkan rumah peninggalan ayah dan ibuku itu.Wajah manis ayah tidak akan ku lupakan sehingga tamat nafasku.”Kuntumkan senyuman dibibir mu wahai anakku,semoga kamu akan disenangi oleh manusia”.Itulah kata-kata azimat yang aku sematkan dalam diriku.Terima kasih ayah sebab sudi jaga Fathiah walaupun dalam jangka waktu yang seketika.KAULAH AYAHKU,KAULAH MURABBIKU.

2 ulasan:

  1. cerita mengenai ketabahan seorang gadis

    BalasPadam
  2. olahan cerita yang menarik...
    Sang Gadis Tunggal yang menempuh dugaan hidup dengan sabar & tabah.

    BalasPadam