“Kau memang jahatlah long!!!” itulah
antara kata-kata yang sering aku hamburkan terhadap along aku, aku rasa dia
memang hidup untuk menyakat dan membuli aku. Sebentar tadi dia mengoyakkan buku
cerita aku yang baru dibeli. Aku sangat bencikan Along aku!! Itulah ayat yang
sering aku monologkan tiap malam. Aku sering mempersoalkan,mengapa perlu ada
anak pertama yang bergelar Along ini. Bagi aku kehidupan mereka hanya untuk
membuli, menyakat dan menyusahkan adik-adik mereka.
Malam ini aku harus menyiapkan kerja
rumah yang agak banyak dan rumit, aku berharap agar si bedebah along itu tak
kacau aku lagi. Aku memulakan kerja aku, namun belum sampai dua minit lampu
bilik aku tiba-tiba terpadam, dan aku dapat mengagak bahawa itu memang kerja si
bedebah itu. “Along!! boleh tak kau jangan kacau aku sehari.” Along menjenguk
mukanya dibalik bendul pintu bilikku dan menyahut semula persoalan yang aku
lontarkan kepadanya, “tak boleh, sebab aku memang dilahirkan untuk kacau kau,”
balas along dalam nada memerli aku. Aku menjerit memanggil ibuku dan mengadu
kepadanya tentang perbuatan along itu. Ibu lantas bertempik dengan keras,
“Along!!, kau mari sini,” Along dengan wajah agak kecuakan berjalan perlahan
menuju ke arah ibu, PANGG!!!! Tanpa diduga tangan ibu yang selembut sutera itu
selaju kilat hinggap di pipi along. Pipi Along berbekas merah, aku agak
terkesima dan berasa serba salah, namun aku cuba untuk menaikkan ego dengan
bermonolog perlahan, “ah, pergi mampus sama binatang itu.” Along bergerak
menuju ke biliknya setelah diarahkan oleh ibu.
Keesokan paginya, aku bersiap menuju
kesekolah dan aku lihat Along masih lagi
belum bersiap, aku ingin bertanya namun kelakuan binatangnya membuatkan aku
lebih rela berdiam seribu kata. “Kenapa Along tak bersiap lagi ibu?” soalku.
“Along
kau demam, terkejut agaknya sebab dilempang ibu,” balas ibu sinis. “Biar dia
mati pun bagus…” ujarku separuh berbisik.
Dalam
perjalanan ke sekolah, aku teringat kata-kata arwah ayah aku yang Along aku ni
memang ‘hyperactive’, namun dia boleh diharap untuk melakukan apa saja kerja
yang disuruh. Hatiku tiba-tiba dirundung rasa sebak terbayangkan kejadian malam
tadi, “ah, biar dia rasakan..hidup asyik nak kacau aku je,” kataku ingin
memujuk hati yang sebak.
Sebaik pulang dari sekolah, aku mencari
kelibat Along, tiba-tiba, BUKKK!!! Belakangku ditumbuk oleh seseorang dan amat
sakit sekali…
“Padan muka kau sial!! Sapa suruh kau
mengadu pada ibu, kau ingat aku tak nampak kau senyum-senyum waktu aku ditampar
malam tadi.” Pekik along. Aku terduduk kesakitan, aku mencari ibuku namun
sia-sia kerana ibuku masih lagi belum pulang dari kerja. Aku menangis
kesakitan. Aku tidak menduga bahawa binatang itu menyimpan dendam atas
perbuatanku malam tadi
“Kalau kau mengadu lagi sekali, nahas
kau!” bentak Along. Aku berlari masuk kedalam bilik dan menunggu kepulangan
ibu. “Kau ingat aku takut dengan ugutan kau,” monologku di dalam hati. Sebaik
saja ibu tiba di rumah, aku terus berlari dan mengadukan perbuatan Along
terhadapku tengahari tadi. Ibuku yang kepenatan terus mencapai batang penyapu
dan menjerit memanggil si binatang tu, namun tiada sebarang sahutan. Barangkali
dia sudah keluar, ibu terus masuk bilik dan mandi, aku pula terus menyediakan
makanan untuk ibu.
Usai makan bersama ibu, tiba-tiba Along
terpacul dimuka pintu. Ibu yang tadinya sudah ‘sejuk’ terus merah padam mukanya
setelah melihat Along. Ibu menuju ke dapur dan aku tersenyum sinis kepada Along.
Along menuju masuk kedalam biliknya
tanpa menyedari perkara yang bakal berlaku terhadapnya. Tiba-tiba aku terlihat
kelibat ibu dari dapur menuju masuk ke dalam bilik Along dan di tangannya ada
sebatang kayu yang agak besar. Hatiku tiba-tiba berdebar…
“Apa kau buat pada adik kau! Adik kau tu
kan perempuan, kenapa kau tumbuk dia?” soal ibu. Along diam seribu kata,
tiba-tiba kayu yang agak besar itu singgah di badan Along, dan kali ni aku
benar-benar rasa tidak sedap hati. Along terduduk dan ibu menyesah Along dengan
bertubi-tubi membuatkan aku terpaksa menarik ibu dan….
Bukk!! Tanpa diduga pukulan ibu yang
terakhir terkena pada bahagian kepala Along dan Along rebah. Pada mulanya ibu
tidak mengendahkan namun aku menjerit setelah terlihat aliran darah yang keluar
dari kepala Along. Aku dan ibu agak tergamam ketika itu dan baru kami teringat
yang along mengidap penyakit kanser otak namun tidak begitu teruk.
“Namun begitu, kepalanya harus dijaga
dengan elok dan tidak boleh mengalami sebarang hantukan yang kuat,” Itulah
kata-kata dari Doktor Aila Amila ketika Along ditahan di wad waktu dia berusia
7 tahun.
Along!!! Aku menjerit tatkala dua bola mataku
menyaksikan kejadian yang tidak disangkakan itu. Aku melihat wajah ibu biru
kepucatan dek kerana peristiwa yang tidak diingini itu. Seketika kemudian aku
melihat Along menggelitik menahan kesakitan dan aku semakin ketakutan…..
“Mairah, pergi panggilkan Pak Usu kau
cepat!!!”. Aku bergegas lari menuju kerumah Pak Usu, setibanya aku disana
lantas aku menceritakan perkara yang berlaku dan Pak Usu mencapai kunci Volvo
lamanya dan menuju ke teratak kami. Setibanya kami di rumahku jantungku bagai
direnjat satu tenaga elektrik bervoltan tinggi apabila melihat Along kaku
diribaan ibuku yang sedang meraung persis si anak gadis dirasuk sang saka.
Pak Usu meletakkan dua jarinya di
tengkuk Along yang sedang dilanda nazak itu. “Denyutan nadi budak ini sudah
terlalu lemah, kita perlu betolak ke hospital dengan segera”, ujar Pak Usu aku.
Perjalanan sejauh 6 kilometer menuju
ke hospital dirasakan begitu jauh sekali, aku melihat tangan Along menggenggam
erat tangan ibuku dan berkata dengan nada tersekat-sekat “ibu…halalkan makan
minum Along…ampunkan segala dosa Along terhadap ibu..Along langsung tak berniat
untuk menyusahkan ibu…Along rasa lepas ni ibu dah tak payah nak marah-marah
lagi..sebab Along mungkin dah tiada lagi…”. Air mata ibu semakin melaju bak
sungai mengalir. Tangan ibu dibasahi dengan darah yang mengalir keluar dari
kepala along. Along menjelingkan matanya yang layu kearah aku…
“Humairah, Along minta maaf sebab banyak menyusahkan
Humairah. Sebenarnya Along tahu yang Humairah memang benci pada Along, Along
pernah dengar yang Humairah gelar Along binatang, tapi….”, kata-kata Along
terputus setakat itu. Aku menundukkan wajah kerana dirundung rasa bersalah yang
amat sangat..
“Tapi along sikit pun tak kesah sebab
along sayangkan Humairah…Along tiada adik selain Humairah, sebab itu Along suka
kacau Humairah dengan harapan gurauan Along dapat menceriakan Humairah…namun
apa yang Along dapat hanyalah kebencian dari adik Along sendiri..tidak
mengapalah dah memang salah Along.” Along memejamkan matanya yang layu itu. Aku
terus dirundung rasa serba salah yang amat dan aku sesekali tidak menyangka
bahawa Along akan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Sesampainya kami di
Hospital, aku segera memanggil jururawat untuk meminta bantuan. Fikiranku amat
bercelaru dan serabut ditambah pula dengan keriuhan umat manusia membuatkan aku
kalut seketika.
Jasad Along yang lemah itu diusung ke
wad kecemasan, aku dan ibu berpelukan. Tergambar mimik bersalah di muka ibu
yang ayu itu, namun aku tidak menyalahkan ibu dalam hal ini dan ibu sememangnya
tidak bersalah. Aku yang bersalah dalam hal ini, jika sekiranya mulut aku tidak
gatal untuk mengadu domba nescaya perkara sebegini tidak akan terjadi.
Tiba-tiba stretcher yang
mengusung jasad lemah Along menghala kearah kami dan disisi Along ialah kelibat
Doktor Aila Amilah. Sekali debaran menyerang jantungku..
“Anak puan ini perlu dibedah dengan
kadar yang segera untuk mengelakkan kuman di kepalanya merebak keseluruh
badannya,” beritahu doktor yang sudah separuh usia itu. Tiba-tiba tangan aku
dan digenggam oleh Along, aku terkedu seketika, serentak dengan itu aku
terdengar berkata dengan suara yang agak lemah “Humairah, Along harap kamu
dapat jaga ibu dengan sebaiknya. Jangan kamu abaikan ibu hatta kamu dah
berkahwin sekalipun, lepas ni Along dah tiada untuk menjaga ibu dan kamu.”
Itulah kata-kata keramat terakhir dari Along.
Usai Along ditolak ke bilik
pembedahan, aku mencari surau untuk menunaikan solat maghrib dan solat hajat
agar Along dipanjangkan umur. Sebaik sahaja aku selesai menunaikan kedua-dua
solat itu, aku bertafakur sekejap sambil berdoa “Ya Allah, jika sekiranya kau
memanjangkan umur Along, aku berjanji akan melayannya selayak layanan seorang
adik kepada abangnya dan aku tidak akan mengadu domba lagi.” Aku bergerak
menuju keruangan menunggu, darahku
berderau sebaik melihat ibuku meraung sambil memeluk Mak Su dan hatiku sekali
lagi berdebar laju.
“Humairah, Along kau dah pergi
menghadap Nya, Pak Usu harap kau tabah menghadapinya.” Itulah kata-kata yang
keluar dari mulut Pak Usu. Kepalaku pitam dan aku merasakan dunia ini seperti
berpusing kemudian…
Aku seolah baru tersedar dari
tidur, dan aku dapat merasakan aku berada didalam bilikku. Aku terdengar
keriuahan suara dan esak tangisan manusia. Aku menjenguk ke ruang tamu dan aku
terus meraung seperti manusia hilang akal apabila melihat sekujur badan yang
telahpun siap dikapankan. Aku memeluk tubuh kaku Along yang selama ini menjadi
insan yang paling aku benci, aku mencium dahinya yang sejuk seperti salji itu,
kemudian aku ditarik oleh beberapa orang sepupuku.
Kini hampir seminggu Along
meninggalkan kami, kelakuan ibu berubah dari seorang perempuan yang peramah
kepada seorang yang agak pendiam. Aku pula seolah-olah rindukan sakatan Along.
Rumah kami sunyi tanpa Along dan kehidupan aku juga sunyi tanpa gurauan Along.
Segala pesanan Along masih lagi berlegar-legar di ruang minda aku. “Along, jika
hari ini kau masih hidup, aku akan melayan segala gurauan Along. Selamat
tinggal Alongku…Al-Fatihah



